Penulis ingin mengulas 'nawadir' yang ditulis oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, “Oh Tuhan! Tunjuki Aku Untuk Terus Menegakkan Keadilan” [ Klik Di Sini]. Tajuk tersebut ditulis ketika beliau menziarahi Father OC Lim yang baru pulih setelah pembedahan jantung. Father OC Lim, sebagaimana yang disebutkan beliau adalah seorang paderi yang tegas memperjuangkan hak asasi dan keadilan. Malah semasa Dato' Seri Anwar merengkok di penjara, paderi tersebut sering mendoakan kesejahteraannya agar segera dibebaskan dari cengkaman kezaliman. Sebelum proses pembedahan, Father OC Lim dimasukkan pelalian oleh seorang doktor Muslim. Kemudian doktor tersebut membisikkan sesuatu ke telinganya, “biasanya bagi pesakit Muslim, saya bacakan al Quran; dan saudara seorang Nasrani, sila beritahu bahagian mana dari kitab Injil yang harus saya bacakan? Lantas Father OC Lim menjawab,'Psalm 23'.
Sabtu, November 21, 2009
Ya Allah, Tunjukkan Kami Untuk Terus Menegakkan Keadilan
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Sabtu, November 21, 2009
0
ulasan
Ahad, November 08, 2009
Kisah PMRAM, ISMA & JPMK : Adili PMRAM dengan adil
Tingginya nilai keadilan sehingga tanpanya masyarakat akan hancur. Hakikat ini dinyatakan oleh Nabi salallahualaihi wasalam dengan nada yang cukup tegas mengenai peristiwa Fatimah al Makhzumiyyah. Wanita bangsawan Bani Makhzumi itu telah mencuri dan kemudiannya tertangkap. Kaumnya melobi nama Nabi, menerusi anak angkat kesayangannya Zayd ibn Harithah agar Fatimah dibebaskan dari hukuman kerana ia adalah orang berkedudukan. Peristiwa tersebut menyebabkan Rasulullah salallahualaihi wasalam marah dan itulah yang melatari sabdanya yang terkenal…
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Ahad, November 08, 2009
0
ulasan
Label: Analisis
Sabtu, November 07, 2009
Kisah PMRAM, ISMA & JPMK
Saya hanya mahu berteleku di dinding sejarah melihat fenomena yang membuatkan hati ini tercalar, kecewa dan hampa. Di bumi Mesir ini, isu perang dingin antara PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) dengan persatuan-persatuan pelajar lain tak pernah lekang. Budaya aib-mengaib di kalangan kita semakin parah, sehingga tidak ada orang sebaik mana pun yang boleh merasa selamat dari diburukkan, difitnah dan diperolok-olokkan. Apatah lagi kemudahan ruang maya menjadi alat berinteraksi digunakan sehabis-habisnya untuk melanyak mana-mana kelompongan yang boleh diserang. Apalah guna kecanggihan multimedia kalau hanya dijadikan senjata propaganda memutarbelit fakta, memaki-hamun atau alat fitnah.
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Sabtu, November 07, 2009
1 ulasan
Isnin, Oktober 19, 2009
Antara Felix Droste & UMNO Barisan Nasional
Ingin penulis berkongsi bersama pembaca mengenai berita menarik yang telah ku baca semalam, sebuah syarikat penerbitan di Jerman telah menggagalkan rencana untuk menerbitkan sebuah buku karangan Garielle Brinkmann (nama pena; WW Domsky) yang sepatutnya telah diterbitkan pada September 2009. Buku tersebut yang berjudul ‘Wem Ehre Gebührt’ (Eng; ‘To Whom Honor is Due’) bercerita mengenai kes pembunuhan ekstrem, juga termasuk di dalamnya petikan-petikan kalimah yang menghina al Quran dan Islam umumnya. Felix Droste, pengarah syarikat penerbitan terbabit membatalkan buku tersebut kerana ia menyinggung seluruh perasaan umat Islam. Menurut Droste, hal tersebut bakal mengundang risiko yang sangat besar.
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Isnin, Oktober 19, 2009
0
ulasan
Selasa, Jun 16, 2009
Penjelasan Isu ‘Niqab’ di Universiti al Azhar
Banyak perbahasan yang timbul mengenai isu ‘niqab’ setelah beberapa kenyataan dibuat oleh Sheikhul Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Tantawi. Beberapa desakan timbul untuk penulis mengulas isu tersebut dan akhirnya penulis cuba juga membaca isu ini secara ekspress, yang demikian itu semoga ia dapat difahami oleh para pembaca sekalian mengenai isu sebenar. Untuk pengetahuan pembaca, isu ini telahpun dijawab oleh naqib saya, Ustaz Hairul Nizam Mat Hussain di sini. Maka, ini adalah sebahagian jihadku terhadap tuduhan media-media yang tidak bertanggungjawab memburuk dan menggunakan kesempatan mengenai isu ini atas nama Sheikhul Azhar!
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Selasa, Jun 16, 2009
2
ulasan
Label: Analisis
Isnin, Jun 08, 2009
Dari Kaherah, Obama Meraih Suaka 2/2
Untuk mendapat simpati masyarakat Islam, Obama sekali lagi meyakinkan akan kebenaran peristiwa Holocaust. Satu lagi modal Bush yang menjadi punca kaum Yahudi dibenarkan mendirikan negara haram Israel. Ya, penulis bersimpati dengan jenayah Holocoust. Tetapi mengapa jenayah Holocoust yang dilakukan oleh Nazi Jerman itu, menjadi lesen untuk rejim Zionis mendera rakyat Palestin? Renungkanlah, Obama tidak ubah seperti seorang ‘salesman’ yang menjual produk-produk Bush, manakala umat Islam ibarat pembeli barangan jualannya. Obama sebenarnya hanya cuba untuk menyembunyikan jenayah perang rejim Zionis ke atas umat Islam dengan hanya menjaja cerita-cerita 1001 malam yang bertajuk ‘Holocoust’.
Kerana itu, jadual perjalanan Obama seterusnya selepas mem-’brain-wash’ umat Islam di Kaherah ialah, ke kem-kem Nazi di Buchenwald, Jerman. Satu ‘swing’ yang dilakukan Obama untuk membuktikan kepada masyarakat Islam bahawa Yahudi benar-benar teraniya semasa peristiwa Holocoust. Dan masyarakat Muslim pula perlu menelan hakikat bahawa pembunuhan rakyat Palestin oleh rejim Israel tidak mengapa.
Sekarang Adakah Anda Mempercayai Obama?
Segala gula-gula ditabur oleh Obama pada 4 Jun lalu, pasti tercabar jika beberapa polisi Amerika yang lalu masih diteruskan. Hal ini berhubung kepada perkara seperti ;
PERTAMA : Kepentingan Yahudi-Israel dipertahankan dengan penguasaan ‘neo-konservatif’ ke atas seluruh keputusan penting pentadbiran Amerika. Di Amerika, ada sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh terhadap jangka hayat presiden-presiden AS yang dikenali sebagai ‘The American Israel Public Affairs Comittee’(AIPAC) – pada asalnya organisasi ini dikenali sebagai The American Zionist Public Affairs Committee, sebuah organisasi yang pro-Israel di Amerika yang diasaskan oleh Isaiah L. Kenen pada tahun 1954. Apa yang menarik lagi mengenai pertubuhan tersebut telah menerima pengiktirafan semua presiden-presiden Amerika termasuk Barrack Hussain Obama.
KEDUA : Menyifatkan serangan 11 September 2001 berpunca dari angkara ektremis Islam dengan meletakkan al Qaedah sebagai penggerak konspirasi. Al Qaedah bukanlah sebuah negara, malah bukan juga sebuah pertubuhan, tetapi mengapakah Obama sangat runsing dengan al Qaedah? Ia hanyalah rangkaian bersenjata yang tidak bertunjang pada satu kepimpinan politik. Apa yang dinyatakan Al Qaedah berhubung dengan membina khalifah merupakan idea yang sangat tidak berstrategi, kabur dan retorik. Mereka hanya rangkaian yang mendatangkan kesan buruk terhadap citra Islam yang suci. Momokan apakah yang dibawa oleh rangkaian al Qaedah, sehingga ia digeruni oleh AS? Benarkah al Qaedah kumpulan mujahidin yang menepati kehendak al Quran dan Sunnah? Atau ia hanya menjadi alat ‘pass masuk’ tentera-tentera Amerika ke wilayah-wilayah Islam.
KETIGA : Menceroboh wilayah-wilayah Islam sesuka hati dengan matlamat menghentikan keganasan dan mempertahankan hak asasi manusia. Penulis percaya memang AS tidak mempunyai niat yang buruk terhadap usahanya menangani ’keganasan’. Menangani ‘keganasan’ tentulah ia merupakan langkah yang murni dan baik, malah Islam sendiri menolak perbuatan-perbuatan ganas, ‘barbarian’ dan melampau. Tetapi pendirian AS dalam menangani keganasan itulah pendirian yang buruk dan korup, kerana tindakan mereka adalah untuk ‘mengekalkan dan melebarkan kuasa’.
Inilah temberang Obama, agar masyarakat Muslim redha dengan apa yang pernah dilakukan kerajaan AS sejak tahun-tahun dulu semasa pentadbiran Bush. Kata Obama ;
Over seven years ago, the United States pursued al Qaeda and the Taliban with broad international support. We did not go by choice; we went because of necessity[ Lebih 7 tahun lalu, Amerika mencari rangkaian Al Qaedah dan Taliban dengan dokongan antarabangsa (menghentikan paksi kejahatan; sebagaimana yang didakwa Bush). Kami tidak melakukannya karena ada PILIHAN, kami melakukannya karena PERLU ].
KEEMPAT : Tidak mengambil kira pengiktirafan HAMAS sebagai kerajaan yang sah di Palestin, dan menekan HAMAS supaya mengiktiraf Israel. Sekalipun Obama tidak melabelkan HAMAS sebagai terrorist, tetapi beliau sering mengaitkan HAMAS sebagai pertubuhan ekstremis. Ini adalah analisis Obama yang salah terhadap HAMAS. Obama masih naif menilai apakah yang dimaksudkan dengan ‘ekstrem’, dan apakah sebenarnya ‘terrorist’. Serangan rejim Israel yang menggunakan fosforus di Gaza awal tahun ini, tidak pula diperbesarkan sebagai hal yang mengancam keamanan sejagat atau ‘terrorist’. Inilah sikap bias Obama, apabila beliau terus tegar meletakkan imej HAMAS sebagai ekstrem demi memastikan kestabilan sekutunya iaitu Israel, terjamin.
Sekali lagi, Obama telah berjaya melupakan umat Islam di seluruh dunia semasa saat tragis yang menimpa saudara seaqidah kita di Palestin.
KELIMA : Tekanan terhadap Iran agar memberhentikan segala proses nuklear yang dianggapnya boleh mengancam ‘keamanan'. Mari sekali lagi kita perhatikan temberang Obama ;
I strongly reaffirmed America's commitment to seek a world in which no nations hold nuclear weapons.
[Saya secara kuat mempertegaskan komitmen Amerika untuk mengusahakan sebuah dunia di mana tiada satu pun negara yang memiliki senjata nuklear ].
Sedangkan sejak tahun 1958 lagi, Israel telah membina loji Reaktor Nuklear Dimona di Negev. Obama tidakpun menyebut perihal ini, Obama sekadar mendiamkan diri dan berkecuali terhadap program pembangunan nuklear Israel. Polisi berat sebelah Amerika seperti ini pasti berlaku. Ini kerana, Iran adalah musuh sejak Revolusi Islam Iran tahun 1979, manakala Israel adalah rakan tadbir AS sejak dahulu lagi.
Lebih ketara lagi ialah, sokongan Iran terhadap Hizbullah yang berperang menentang Israel, ini tentunya mengukuhkan kedudukan Iran menjadi musuh utama AS. Maka antara hujah yang sentiasa dibahaskan ialah kebimbangan bahawa senjata nuklear Iran ini jatuh ke tangan al Qaedah. Sedangkan, al Qaedah (ideologi Salafi-Wahabi) dan Iran (Syiah) bagaikan minyak dan air, sangat mustahil mereka bersatu dan bekerjasama.
Di sini kita dapat melihat satu aspek, kerajaan Amerika merasakan kedudukannya tidak selamat. Tetapi pada aspek yang lain, dunia Islam sebenarnya telah dianiaya dengan polisi-polisi AS yang direka-reka.
Kesimpulan & Penutup
Secara peribadi, saya merasa yakin Obama - tidak mampu mengubah banyak perkara besar terhadap dasar Amerika, sekalipun ucapan beliau begitu memujuk jutaan hati umat Islam.
Dan keseluruhannya, Obama hanya bercakap mengenai keazaman pentadbiran ‘Amerika Baru’ di bawah kepimpinan beliau. Tetapi, bukan untuk memperbaiki polisi-polisi Amerika yang bersikap bias terhadap Islam. Obama mungkin sedang membangunkan hubungan Amerika dan masyarakat Muslim dengan statusnya sebagai presiden yang baru. Tetapi, tanpa kita sedari banyak perkara-perkara penting yang tidak diambil kira oleh beliau.
Namun dengan sikap adil dan teliti, jujur penulis rasakan; saya masih boleh ber'sangka baik' dengan hasrat sucinya itu. Jika sedikitpun perubahan yang ditawarkan berjaya dilakukan, sekurang-kurangnya Obama telah meletakkan dirinya sebagai penganut Kristian yang mengakui keunggulan Islam dan berusaha menentang stereotaip negatif terhadap Islam dengan mempamerkan sumbangannya melalui sejarah yang diceritakan oleh beliau semasa pidato 55-minit tersebut.
Penulis juga bersetuju dengan Obama apabila turut mengenal pasti kelemahan umat Islam yang ketara berlaku saat ini ialah perpaduan yang rapuh di kalangan mereka. Analisis Obama ini disambut baik oleh Dr.Yusuf al Qardhawi hafizahuLlah, dengan memberikan pesanan kepada umat Islam di dalam khutbah-nya pada 5 jun lalu;
[ Sekiranya musuh-musuh kita (umat Islam) melihat kekuatan kita dan kesepaduan barisan kita (menghadapi penentangan mereka) nescaya kita dihormati dan kita berubah menjadi berupaya untuk menganalisis masalah-masalah yang menimpa kita. Sebaliknya jika kita berpecah, Ikatan kita longgar dan kita saling bermusuhan antara satu sama lain, tentulah kita tidak akan dihormati oleh sesiapapun ]
Walau bagaimanapun, penulis tidak menganggap umat Islam itu perlu bersatu pada setiap perkara, adakalanya kita berhak berbeza pendapat namun masih diliputi sikap saling hormat-menghormati, bukan saling rendah-merendahkan. Masing-masing punya pendapat sendiri. Namun, bagi penulis yang masih belajar mencari kebenaran dan berusaha membelah kesamaran ini, penulis tidak mudah menelan bulat-bulat apa yang telah dikatakan oleh Obama.
Penulis tidak memusuhi Amerika. Penulis juga tidak membenci Amerika, kerana penulis percaya satu hari nanti Amerika mampu mengulangi sejarah Parsi yang ketika dahulu adalah kuasa besar yang begitu sengit memusuhi Islam. Tetapi akhirnya, kerajaan Parsilah yang menjadi salah satu tonggak kekuatan kepada dunia Islam masa kini. Firman Allah Taala ;
[ Sesungguhnya engkau akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya engkau akan dapati pula orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Kami ialah orang-orang Nasrani (Kristian)’, yang disebabkan itu di antara mereka ada pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat. Malahan pula mereka tidak bersikap sombong ] – Surah al Maidah:82, al Quranul Karim.
Bagaimanapun, penulis tetap melihat pidato Obama ini dengan sikap hazar (waspada), dan meminta agar masyarakat Islam tidak terpedaya mengharapkan janji-janjinya. Firman Allah Taala ;
[ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha kepadamu sehingga engkau menuruti agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), ‘Sesungguhnya petunjuk agama Allah (Islam) itulah petunjuk yang benar’. Dan jika engkau terpedaya lalu menuruti kehendak nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran itu), maka tiadalah engkau akan perolehi daripada Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu ] – Surah al Baqarah:120, al Quranul Karim.
Wallahua’lam
202, Kaherah.
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Isnin, Jun 08, 2009
2
ulasan
Label: Analisis
Dari Kaherah, Obama Meraih Suaka 1/2
[Tulisan iniku tujukan kepada mereka yang telah disihir dengan mentera-mentera Obama].
Dengan menggunakan nama Barrack Hussain Obama, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu telah memenangi perasaan umat Islam dengan menggunakan retorik perpaduan agama di dalam pidato 55 minit-nya di Universiti Kaherah. Tidak dapat dinafikan bahawa ucapan Obama pada 4 Jun lalu, telah meletakkan harapan yang amat tinggi sehingga sebahagian umat Islam terpesona dengan pidatonya, termasuklah ‘mereka’ yang berada di bumi al Azhar ini. Tidak kurang juga, ada yang sudah mengiktiraf Obama sebagai idolanya. Biarpun kita tidak tahu apakah ‘udang di sebalik batu’ pada hakikat yang tersirat di sebalik itu, masih ada yang terus berbaik sangka dan tidak kurang juga – tetap selamanya berburuk sangka.
Pidato Obama di Kaherah
Ucapan Obama, begitu memukau sebahagian besar umat Islam dengan konsep toleransi yang tinggi. Obama diangkat menjadi ‘Harapan Baru Dunia Islam’. Walau bagaimanapun, penulis menganggap, kemunculan Obama hanyalah sebagai usaha untuk melenyapkan plan radikal yang dimanipulasi Bush ketika mentadbir Amerika. Plan tindakan yang ada dicorak Bush dahulu telah berubah wajah daripada diktator menjadi moderat ketika Obama melayakkan dirinya sebagai presiden. Kerana, walaupun jawatan presiden bertukar tangan, ia sedikitpun tidak mengecewakan cita-cita Bush agar segala projek penaklukannya ke atas wilayah Islam menjadi kenyataan.
Kata Dr.Mahdi Akef, mursyidul ‘am Ikhwanul Muslimin mengenai pidato Obama, ‘yang berubah hanyalah uslub (metod)tetapi bukanlah perlaksanaan yang hakiki’.
Melanjutkan tulisan ini, penulis meletakkan prinsip dalam menilai pidato Obama tempoh hari sebagaimana berikut ;
[ Saya bukanlah orang terlalu bersikap optimis (dengan pidato Obama) dan tidak juga terlalu bersikap sangka buruk ]
Pendekatan penulis ialah wasatiyyah (sederhana), mengkritik dan menimbang kebenarannya. Khususnya apabila pidato Obama pada 4 Jun lalu, masih memberikan gambaran kepada kita bahawa Amerika masih berangan-angan mahu mencorak geopolitik global dan merangkul umat Islam mengikut telunjuknya. Kita tidak boleh mengadili Amerika hanya disebabkan pidato Obama yang berlangsung di Universiti Kaherah yang berlangsung selama 55-minit itu. Obama adalah Obama dan Amerika adalah Amerika.
Tiada banyak polisi Amerika dilihat berbeza dari sebelumnya, cuma Obama lebih banyak mengambil pendekatan yang dikira halus dalam usahanya merapatkan jurang antara Muslim dan Amerika. Secara keseluruhan, ucapan-ucapan beliau bolehlah dibahagikan kepada beberapa tumpuan, iaitu ;
1)Mengajak masyarakat Islam agar tidak lagi mengganggap Amerika sebagai musuh utama.
2)Mengembalikan imej baik luaran Amerika yang sebelum ini tercalar teruk sebagai negara yang mendiskriminasikan Islam.
3)Cuba menangani keganasan ekstremis di seluruh dunia dengan meraih sokongan masyarakat Islam dan mencari perdamaian di Asia Barat.
4)Menyatakan janji untuk menyelesaikan segala ketegangan yang berlaku di wilayah-wilayah Islam yang berkecamuk, yang melibatkan hati dan perasaan umat Islam.
5)Menyeru kepada masyarakat Islam agar dapat menerima Israel sebagai tetangga baru di Asia Barat, dengan berasaskan kisah Holocoust untuk memancing simpati umat Islam.
6)Menegaskan tragedi hitam pada 11 September 2001 merupakan serangan yang dilakukan oleh al Qaedah.
7)Menceritakan isu hak asasi terutamanya wanita yang dianggap Obama tidak stabil di negara-negara Islam.
8)Menyatakan keazamannya untuk mengerahkan kerajaan AS, melupuskan penjara Guantanamo Bay pada pada awal tahun depan.
9)Menutup semua kegiatan nuklear dan mewujudkan suasana dunia tanpa genjatan senjata.
Ramai yang menafsirkan bahawa pidato Obama di Kaherah, sangat berbeza dengan ucapan presiden-presiden Amerika sebelum ini. Tetapi tidak bagi penulis. Ucapan Obama hanya berbeza disebabkan pujian-pujian yang ditujukan kepada warga Mesir dan peradabannya, pujian ke atas institusi al Azhar, dan kerana itulah ia menambahkan kekuatan vokalnya untuk terus disenangi para pendengar terutamanya warga awam Mesir yang sangat sukakan ‘pujian’. Penulis merasakan, kita sebagai masyarakat Islam dan masyarakat al Azhar khususnya tidak terkesima dengan pujian-pujian seperti yang dilakukan oleh Obama. Firman Allah Taala ;
[ Jangan sekali-kali engkau menyangka, orang-orang yang riang (bergembira) dengan apa yang telah tunaikan, dan mereka pula suka diPUJI dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan kamu menyangka mereka akan terselamat dari seksa ] – Surah al Imran:188, al Quranul Karim
Pujian dan keredhaan Obama tidaklah sama taraf dengan keredhaan dan pujian Allah Taala ke atas orang yang beriman. Janganlah kita terpedaya. Obama sebenarnya berusaha menjaga hati semua pihak bagi meraih sesuatu yang luar biasa sebagai Presiden Amerika yang baru.
Fawzi Barhoum, salah seorang juru cakap HAMAS berkata, “pidato Obama sangat berbeza dengan kelibat Bush sebelum ini, bagaimanapun masih banyak yang perlu dikaji mengenai ucapan Obama”. Menurutnya lagi, ucapan-ucapan Obama hanya lisannya semata dan bukanlah mekanisme dalam pentadbiran Amerika. Ini kerana, bermula dari tarikh Obama dijadualkan berucap di Kaherah – HAMAS masih lagi tidak diiktiraf sebagai kerajaan yang sah, dan sehingga ke hari ini, Amerika terus melabelkan HAMAS sebagai kumpulan ekstremis.
Dan sekali lagi. Obama masih menggunakan isu World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001 sebagai modal yang seharusnya ditanggung oleh masyarakat Islam. Modal ini pernah digunakan Bush untuk melakukan penjajahan ke atas Afghanistan dan Iraq. Tragedi hitam 11 September itu, ibarat kejadian tragis di Pearl Harbour untuk mendapatkan restu dunia kepada polisi Amerika bagi menekan wilayah-wilayah Islam. Sedangkan, “isu tersebut tiada Muslim, tiada Arab, tiada pengganas yang terlibat, tetapi hanya Rumah Putih, bandar raya New York, dan pejabat Datuk Bandar New York yang menipu rakyat Amerika dan dunia” – ini sebagaimana yang disebut oleh Jimmy Walter, pengasas ReOpen 911.
Mengenai kitab-kitab Samawi termasuk Talmud yang dinaqalkan oleh Obama mengenai ‘as Salam’ (perdamaian) ;
The Talmud tells us: "The whole of the Torah is for the purpose of promoting peace".
[ Kitab Talmud mengatakan kepada kita: “Seluruh Taurat memberikan cadangan dengan menggalakkan perdamaian” ].
Saya (penulis) pelajar kuliah Usuluddin yang belajar ilmu ‘muqoronah adyan’ (komparatif agama) sebagai subjek teras di dalam jabatan Dakwah & Ketamadunan Islam, bersaksi sebenarnya tiada perkataan ‘as Salam’pun di dalam Taurat sebagaimana didakwa oleh Obama. Tiada satu pun perkataan yang mengajak kepada perdamaian di dalam Taurat! Sebaliknya semua kandungan Taurat itu mengajak kepada peperangan dan penaklukan. Di dalam Taurat sendiri, Allah Taala menyifatkan ‘mereka’ (kaum Yahudi) sebagai ‘lord of the soldiers’ (rabbu al junud).
Obama turut menggunakan kekuatan latar belakangnya seperti memaklumkan bahawa keluarga di sebelah ayahnya seorang Muslim, serta beliau pernah tinggal di Indonesia – negara Islam terbesar di Asia. Perkara ini bukan pertama kali beliau isytiharkan di Kaherah, tetapi telah diulang berkali-kali untuk meyakinkan masyarakat Islam di mana-manapun, bahawa hubungan beliau dengan masyarakat Islam sangat rapat. Tetapi, sanggupkah Obama berubah menjadi seperti Malik as Shabbaz (Malcolm X), Cassius Clay (Muhammad Ali) ataupun Nicholas Anelka (Abdul Salam Bilal)? Sekalipun itu yang kita harapkan, Obama tetaplah seorang Kristian apabila beliau sekeras-kerasnya membantah ‘rumour’ yang mengatakan bahawa dirinya adalah seorang Muslim.
Manakala adengan Obama memetik mafhum ayat-ayat al Quran yang berbunyi ;
“Be conscious of God (Allah) and speak always the truth”. Surah al Ahzab:70.
“Whoever kills an innocent is as – it is as if he has killed all mankind. And the Holy Koran also says whoever saves a person, it is as if he has saved all mankind”. Surah al Maidah:32.
“O mankind! We have created you male and a female; and we have made you into nations and tribes so that you may know one another”. Surah al Hujurat:13.
Apa yang dilakukan Obama bukanlah satu perkara yang baru, malah ia pernah menjadi polemik hangat di negaraku Malaysia. Seperti YB Nga Kor Ming, EXCO Kerajaan Negeri Perak yang membaca beberapa petikan ayat al Quran. Apa yang telah dilakukan oleh Kor Ming telah dicemuh sebagai taktik mempermainkan ayat al Quran.
Sekarang ini, Obama pula memetik beberapa nas al Quran; Adakah perbuatan Kor Ming salah, manakala perbuatan Obama betul?
Idea Pluralisme Obama
Kenyataan Obama turut membayangkan aspirasinya yang tulus mengenai pluralisme agama. Kerana itu, Obama mencipta satu kelainan daripada kelaziman pidato-pidato presiden Amerika sebelum ini, sehingga berjaya menyihir sejumlah besar pendengar pidato-nya;
All of us have a responsibility to work for the day when the mothers of Israelis and Palestinians can see their children grow up without fear; when the Holy Land of the three great faiths is the place of peace that God intended it to be; when Jerusalem is a secure and lasting home for Jews and Christians and Muslims, and a place for all of the children of Abraham to mingle peacefully together as in the story of Isra, as in the story of Isra, when Moses, Jesus, and Mohammed, peace be upon them, joined in prayer.[ Kita semua memiliki tanggung jawab untuk berjuang mencipta tempoh dimana para ibu Israel dan Palestin boleh menyaksikan anak-anak mereka lahir tanpa rasa takut; Tempoh di mana Tanah Suci ini untuk tiga agama terbesar menjadikan ia sebagai tempat perdamaian yang diinginkan Allah; Tempoh di mana Jerusalem (Darussalam) menjadi tempat kediaman yang aman makmur bagi penganut Yahudi, Kristian dan masyarakat Muslim, dan ia merupakan sebuah tempat untuk semua keturunan Nabi Ibrahim hidup bersama secara damai sebagaimana dikisahkan dalam sejarah Isra’, iaitu ketika Nabi Musa, Nabi Isa dan Muhammad salallahualaihi wasalam (rahmat dan salam ke atas mereka semua) masing-masing bersama menunaikan ibadah ].
Mengapa kita boleh terpukau dengan teater Obama seperti ini?
Penulis tidak mengatakan apa yang diucapkan oleh Obama ini semuanya salah, kerana harapan Obama itu juga merupakan harapan penulis. Tetapi ingatkah sahabat-sahabat sekalian apa yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam dari lisannya yang bercahaya ;
[ Demi jiwa ragaku di tangan-Nya (Allah Taala), jika Musa alahissalam itu masih hidup tentulah Musa akan menjadi pengikutku(Muhammad salallahualaihi wasalam) ] Imam Ahmad di dalam Musnad.
Jika kita menerima kata-kata Obama ini secara bulat-bulat, apa mustahaknya Allah mengutuskan perutusan terakhir kepada umat di seluruh alam ini Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam? Tentulah disebabkan perutusan Nabi-Nabi sebelum kedatangan Muhammad salallahualaihi wasalam telah didustai oleh mereka dari kaum Yahudi dan Nasrani.
Obama dikira berjaya apabila cuba mengelirukan masyarakat Muslim mengenai hak tanah al Quds. Menurut Obama tanah al Quds sepatutnya dikongsi bersama oleh rakyat Palestin dan Yahudi. Tahukah Obama, saat ini siapa yang paling teraniaya dengan penindasan dan sikap ‘double standard’ dunia terhadap Palestin?
Kata Obama ;
If we see this conflict only from one side or the other, then we will be blind to the truth: The only resolution is for the aspirations of both sides to be met through two states, where Israelis and Palestinians each live in peace and security. [Jika kita melihat konflik ini (ketegangan di Palestin) di mana-mana sisi pun, maka kita akan dibutakan kebenaran: Satu-satunya resolusi adalah aspirasi pihak kedua diwujudkan melalui dua negara, di mana rakyat Israel dan Palestin masing-masing hidup dalam damai dan keamanan ]
Benar, Yahudi berhak tinggal di mana-mana penempatan di muka bumi Allah. Tetapi, mereka tidak berhak mencipta negara di perbatasan yang telah mempunyai penduduk tetap (rakyat Palestin) di dalamnya. Islam bersikap akomodatif; tidak pernah menafikan hak-hak kerakyatan bangsa Yahudi sejak zaman Nabi Adam diturunkan lagi. Ini terbukti sebelum kejatuhan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924M, telah ada kaum Yahudi yang menduduki bumi Palestin dan mereka hidup aman damai bersama masyarakat Islam. Tetapi perbuatan rejim Israel menganyang umat Islam Palestin, membina negara haram Israel di Palestin adalah jenayah yang tidak boleh dimaafkan dan wajib dituntut.
Mengapa Obama tidak mahu mengulas peristiwa menyayat hati yang berlaku di Shabra dan Shatila? Mengapa Obama menyembunyikan kejahatan rejim Israel semasa serangan Ghazah 1430 H yang lalu? Mengapa Obama tidak mahu menceritakan kisah menyayat hati seorang lelaki Muslim, sudah tua dan uzur menggunakan ’wheel chair’ yang telah disasarkan bom oleh tentera Israel dengan holikopter Apache!
bersambung; Dari Kaherah, Obama Meraih Suaka 2/2
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Isnin, Jun 08, 2009
0
ulasan
Label: Analisis
Jumaat, Mei 15, 2009
Politik Dunia Menentukan Definisi Ekstrem 2/2
Sangat menarik pujian pemimpin Barat kepada bekas pemimpin kontroversi Pakistan, Pervez Musharraf yang telah ditulis di dalam blog peribadinya. Hal ini sebagaimana yang dicatatkannya, Pervez ketika diraikan oleh Tom Lantos iaitu salah seorang senator US. Tom Lantos melontarkan kata-kata berikut kepada Pervez Musharraf ; “When the civilized world is engaged in a global war against extremist Islamic terrorism, you have emerged as the quintessential Muslim leader of moderation” [ Ketika Negara yang menguasai tamadun dunia (Amerika) bertembung dalam perang terhadap ekstremis Islam yang ganas, kamu telah muncul sebagai seorang muslim yang sederhana (moderat) ].
Mengapa Perves mendapat pujian Barat sebagai moderat? Sebenarnya tokoh-tokoh Barat sengaja mempropagandakan istilah 'moderat' untuk meracuni pemikiran umat Islam bahawa kelompok Islam yang 'baik' adalah kelompok yang mengikut telunjuknya; telunjuk yang mendominasi persetujuan Bush dan sekutu-sekutunya. Memang istilah ‘moderat’ tidaklah salah, tetapi apabila ia dianggap perlu bersesuaian dengan kehendak Barat, itulah kesalahannya. Manakala, mana-mana golongan yang menyimpang dari definisi moderat yang ditakrifkan Barat akan dituduh sebagai ekstremis.
Perkara ini sangat bias.
Seperti juga kerajaan Afghanistan selepas ia dipimpin oleh Hamid Karzai – bekas lobbyist untuk kompeni minyak dan gas Amerika. Kerajaan Hamid Karzai itu dapat memenangi piala ‘Islam moderat’ kerana dasar pro-Amerika, dan dianggap ‘negara model Muslim’ kerana pemimpinnya begitu patuh kepada agenda politik Amerika. Jelaslah bahawa Islam yang moderat itu mestilah ghairah menyokong Amerika dalam perjuangan anti-terroristnya yang diilhami Bush.
Mengapa nas-nas al Quran tidak dijadikan rujukan? Sebaliknya kerakusan pemimpin kuffar diikuti oleh pemimpin-pemimpin umat Islam.
Gejala ‘pak turut’ pemimpin-pemimpin Islam seperti ini sangat bertepatan nas bible yang berbunyi;
The person who isn't with me is against me, and the person who isn't gathering with me is scattering.
“Seseorang yang tidak bersamaku maka ia menentangku (menjadi musuhku) dan sesiapa tidak berkumpul bersamaku maka ia sedang melakukan kacau-bilau” [ Matthew 12:30, International Standard Bible Version ]
Siapa yang tidak bersama Bush dan dasar-dasar politik pro-Zionisnya, maka dia adalah terrorist – itulah penafsiran yang lebih kurang tepat untak nas bible di atas.
Perhatikan fenomena ini, peristiwa sama yang berlaku setelah kerajaan Khawarizmiyyah ditumbangkan tentera Tatar. Sultan al Kamil Muhammad al Ayubi rahimahuLlah, Sultan wilayah Miyafarqin mengiklankan agar umat Islam memerangi Tatar, mengekang kemaraan mereka dari memasuki wilayah Timur Tengah. Ketika itu, mandat ketenteraan diserahkan kepada cucu Genghiz Khan iaitu Hulago Khan. Tentangan Sultan al Kamil al Ayyubi ini mendapat tumpuan daripada Hulago Khan. Kata Hulago Khan;
[ Pemuda ini (Sultan kerajaan Miyafarqin) bukan model kepada agama Islam kerana agama Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi, kasih sayang dan sejahtera ] – Dr.Raghib as Sarjani:Qissah Tatar minal Bidayah ila Ayn Jalut.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana Hulago Khan boleh menafsirkan Islam seperti ini, kalimah yang benar tetapi bertujuan batil. Kalimah yang benar tetapi berhasrat untuk melemahkan panggilan jihad umat Islam terhadap penjajahan. Hanya yang mengikut telunjuk Hulago Khan, akan dilabelkan sebagai umat Islam yang mengamalkan toleransi dan berfikiran moderat (sederhana), sebaliknya yang ingkar akan diperangi. Wawasan Hulago Khanti ini samalah ia seperti Bush iaitu membina suatu wacana Islamisme ‘moderat’ yang bersifat ‘pasif’, damai dan tidak boleh mengkritik serta menentang kerakusannya.
Demikian itu, kalimah jihad yang menjadi ajaran Islam telah banyak mendapat perhatian Barat. Perkataan jihad telah dipandang negatif dan difahami sebagai aktiviti keganasan, atau sekurang-kurangnya dianggap sebagai penyebab timbulnya gerakan keganasan. Ramai sarjana Barat memandang jihad sebagai alat yang bertujuan untuk mendapatkan ufti (jizyah) daripada penganut agama lain. Sama ada Barat tidak memahami Islam atau sengaja bersikap bias untuk mengelirukan masyarakat terhadap Islam, ia adalah perkara kedua.
Namun, yang paling utama ialah umat Islam perlu menjelaskan keadaan sebenar bahawa Islam adalah agama rahmat, dan segala tohmahan yang dikenakan ke atasnya merupakan dusta.
Kita mengakui siri-siri peperangan telah terjadi, sama ada sewaktu kerajaan Islam bertapak di muka bumi malah sejak dahulu lagi. Tetapi adakah peperangan tersebut bertujuan untuk menyebarkan Islam sehingga disebut Islam tersebar melalui pedang? Kata Dr. Yusuf al Qardhawi yang cukup bermakna meberikan wajah sebenar keunggulan Islam ;
[ Bagaimana Islam tersebar di negara-negara yang dimasukinya? Adakah berleluasanya senjata sebagaimana disebut oleh para missonari, orientalis dan yang seangkatan dengannya? Tidak!! Demi Allah.. sesungguhnya senjata telah membuka (menguasai) dunia, tetapi tidak berupaya membuka hati mereka (untuk memeluk agama Islam) ].
Perhatikan semula sejarah sewaktu peperangan di Ayn Jalut berlaku antara tentera Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz dan tentera Monggol yang dipimpin oleh Katabgha. Setelah umat Islam memenangi peperangan tersebut, tentera umat Islam tidak diperintahkan untuk melakukan operasi balas dendam dari Ayn Jalut menuju ke Siberia melancarkan perang ke atas bangsa Monggol. Sebaliknya dakwah Islam tersebar dengan begitu luas, bukan sahaja tentera Tatar malah sebahagian The Great Khan (gelaran raja Monggol) seperti Auragzeb, turut memeluk Islam sebagai agama yang sejahtera.
Kesimpulan
Penulis mengakui bahawa kebimbangan terhadap sikap ekstremis, memang wajar. Kerana, gejala ekstremis sanggup melakukan apa sahaja termasuk menghalalkan darah saudara sendiri kerana tidak se’parti’, sealiran atau se’mazhab’. Islam menuntut para pendokongnya bersikap wasatiyyah (seimbang/ moderat), menjaga disiplin diri dan bijaksana, tidak anti-establishment, meninggalkan sikap ekstrem dan fanatik. Kesederhanaan adalah milik Islam yang menjadi trade mark pada umatnya, dan ia membezakan dari umat-umat yang lain.
Namun, menggembar-gemburkan isu ekstrem seolah-olah ia masalah ‘paling besar’ yang boleh mengakibatkan akhlak remaja gawat, kes zina semakin parah, jenayah murtad menjadi tidak terkawal dan sebagainya; Adalah sama sekali tidak munasabah! Tohmahan serta tuduhan pemimpin-pemimpin umat Islam terhadap ‘mereka’ tentunya mengundang prasangka yang parah terhadap agama, lebih malang lagi jika ia bermotifkan politik. Hakikatnya, tuduhan tersebut adalah sikap gelojoh pemimpin dalam menyelar aktivis Islam komited ke atas cita-cita dakwah dan daulah berada di kandang tertuduh. Strategi ini disahkan oleh penulis Yahudi, Haim Baram (1994) yang menyatakan ;
“Since the collapse of the Soviet Union and the fall of communism, Israeli leaders have attempted to enlist the United States and Europe in the battle against Islamic fundamentalism…”
[ Sejak keruntuhan era kesatuan Soviet dan kejatuhan ideology komunis, pemimpin-pemimpin Israel telah melakukan percubaan untuk merencana kerajaan Amerika dan Eropah ke dalam medan pergolakan menentang Islam tulen… ]
Hari ini kita melihat, negara-negara umat Islam telah menggunakan agenda ini untuk menekan gerakan Islam yang komited terhadap citra dakwah dan daulah. Semua itu dicapai melalui skema jahat untuk menggagalkan gerakan Islam dengan mencemarkannya melalui label ekstremist, terrorist dan yang seumpamanya. Mengapa kita begitu waspada terhadap istilah ‘ekstremis’, ‘radikal’ dan sebagainya yang difahami musuh-mush Islam? Sehingga kemuncaknya kita telah banyak menafikan saranan-saranan Allah di dalam al Quran.
WALlahua'lam
Dicatat oleh
Qutuz's Legacy
di
Jumaat, Mei 15, 2009
0
ulasan
Label: Analisis









